Pages

Thursday, December 2, 2010

Taman tema bertaraf antarabangsa di Malaysia

SIRAM...'ikan pirana' memuntahkan 250 liter padu air sentiasa dinanti-nantikan pengunjung.
SIRAM...'ikan pirana' memuntahkan 250 liter padu air sentiasa dinanti-nantikan pengunjung.

TIADA yang lebih bermakna daripada mendengar gelak tawa anak kecil seronok bermain air sambil memandang wajah ibu bapanya.

Keriangan yang terpancar di wajah anak-anak membuatkan sesiapa saja terutama ibu bapa seronok berkunjung ke taman tema air.

Malaysia memang terkenal dengan beberapa destinasi percutian taman tema air bertaraf antarabangsa.

Justeru, sempena cuti sekolah, Santai menyiarkan lima destinasi percutian keluarga yang mungkin boleh dijadikan destinasi pilihan menghabiskan cuti bersama anak-anak.

Malaysia memang terkenal dengan beberapa destinasi percutian taman tema air bertaraf antarabangsa.

Justeru, sempena cuti sekolah, Santai menyiarkan lima destinasi percutian keluarga yang mungkin boleh dijadikan destinasi pilihan menghabiskan cuti bersama anak-anak.


1. Sunway Lagoon

PENERIMA anugerah Taman Tema Paling Menarik di Asia bagi kategori pertengahan tiga kali berturut-turut oleh Pertubuhan Taman Hiburan dan Tarikan Antarabangsa (IAAPA), Sunway Lagoon menawarkan keseronokan yang tiada penghujung.

Ia mempunyai lima taman tema iaitu taman ekstrem, taman tema hiburan, taman tema air, taman hidupan liar dan Scream Park.

Bagi yang suka sukan ekstrem, Sunway Lagoon baru-baru ini memperkenalkan produk terbaru iaitu sukan bungy jump yang pertama di Malaysia.

Permainan ‘paintball’, pengembaraan menggunakan ATV dan aktiviti ‘rock-climbing’ antara sukan lasak yang boleh dilakukan di sini.

Mahu kelainan, G-ForceX umpama lastik besar yang pasti membuatkan jantung anda berdegup kencang.

Meneruskan cabaran, Scream Park memberi peluang kepada pengunjung mengikuti pengembaraan interaktif menyeramkan Night At The Museum LIVE! yang diilhamkan daripada filem blockbuster , Night At The Museum 2: Battle of the Smithsonian.

Kekuatan semangat pengunjung juga akan diuji dengan pengalaman menyeramkan selama 20 minit dengan Prison Break LIVE!

Memasuki zon World of Adventure, bersedia untuk menjerit sekuat hati bagi melawan ketakutan terutama yang fobia dengan ketinggian ketika menaiki Tomahawk ataupun Pirate’s Revenge.

Selain itu, antara aktiviti yang boleh disertai pengunjung di zon itu termasuk Wagon Wheel, Fun Fair, Lost City of Gold, Tiger Advanture, Apache Pots, The Cave dan Pedestrian.

Wild Wild Wet di bahagian atas Sunway Lagoon menjanjikan keseronokan taman tema air yang pasti membuatkan anda basah. Tiada kolam renang, tetapi semua ‘ride’ pasti membuatkan anda balik dengan baju yang basah.

Berkunjung ke Wildlife Interactive Zoo iaitu zoo mini seluas 3.2 hektar yang dibina berkonsepkan pendidikan dan hiburan di mana pengunjung terutama kanak-kanak berpeluang melihat, memegang dan belajar lebih 160 spesies haiwan.

Antara haiwan itu ialah ular sawa Albino, burung gagak Albino, arnab kucing, binturong, Flamingo Caribbean, Ferret, tupai gergasi, iguana hijau, burung nuri kepak hijau, kucing harimau bintang, tapir Malaya, burung unta, burung undan, siamang tangan putih, tupai putih dan burung kakak tua putih.

Selain Sunway Surf Beach yang menyediakan ombak dan pantai buatan persis pantai sebenar menjadi tumpuan, ‘Waters of Africa’ adalah zon yang sangat digemari
di Sunway Lagoon.


2. Kota Keriangan Genting Highlands

KABUS yang menutupi pemandangan hijau di sepanjang jalan menaiki puncak Genting Highlands cukup menggambarkan kesejukan dan kesegaran di tanah tinggi itu.

Belum pun kaki melangkah ke Taman Tema Luar Genting Highland, hati meloncat keriangan dek keriuhan pengunjung yang berseronok bagaikan memanggil untuk turut serta.

Berkonsepkan resort untuk keluarga, Genting menyediakan lebih 500 jenis permainan dan 40 ‘ride’ di Taman Tema Luar dan Dalam.

Sebagai pembuka ‘tirai’ keseronokan di Genting ini dan menghangatkan suasana dingin, Taman Tema Luar yang lebih santai dan meriah dengan permainan terutama untuk kanak-kanak adalah pilihan paling tepat.

Bagi permainan lebih ‘thrill’, cuba Cyclone, Corkscrew dan Space Shot yang pasti membuatkan anda memejamkan mata dari mula hingga akhir.

Permainan Pirate Train dan Tea Cup pasti membuatkan anda sekeluarga menjerit, selain gelak tawa si kecil apabila menaiki Circus Ride dan Junior Bumper yang melekakan.

Puas bermain di luar, taman tema dalam menggabungkan taman tema serta pusat beli-belah dilengkapi monorel dan roller-coaster.

Snow World pula memberi peluang anda menikmati suasana pada musim salji.

Rainforest Splash Pool pula memberikan anda sedikit kelainan selepas seharian menjerit keseronokan. Dalam kehangatan airnya, anda boleh bermain Wave Pool, Action River, Big Bucket, Tornado Slide dan banyak lagi.

Permainan lain yang mesti dicuba di sini termasuk Corkscrew Roller Coaster, Space Shor, Grand Prix Fun Kart, Sky Venture, Snow World, X-pedition Wall dan Haunted adventure.


3. Lost World of Tambun

BERBANDING taman tema lain di seluruh negara, Lost World of Tambun (LWOT)
di Ipoh, Perak paling unik.

Ia adalah taman tema air buatan manusia dengan seni bina Mayan yang cantik selain pemandangan indah tasik, hutan hujan tropika dan bukit batu kapur berusia 400 juta tahun.

Lima elemen yang dipertaruhkan sebagai tarikan ke LWOT iaitu Waterfall Beach Garden, Adventurific Water Slider (taman air), Fantabulous Dry Rides (taman tema kering), Tambun Hot Springs dan Tiger Valley.

Waterfall Beach Garden menampilkan Jungle Wave Bay, kolam ombak tiruan terbesar di Malaysia dengan keluasan 3,200 meter persegi dan setiap satu daripada tujuh pukulan ombaknya berbeza-beza.

Taman airnya juga menjanjikan keseronokan maksimum seperti Adventure River, sungai buatan terpanjang di Asia iaitu 600 meter.

Jika mahukan sesuatu yang lebih mencabar, anda boleh bermain gelongsor pelampung.

Untuk kanak-kanak berusia lapan tahun ke bawah, Explorabay adalah tempat yang paling sesuai. Bermain air pancut di kolam yang cetek pasti menyeronokkan mereka.

Fantabulous Dry Rides pula menyediakan permainan lebih mencabar seperti Storm Rider. Ia yang direka bentuk seperti sebuah kapal abad ke-16 mampu memuatkan 40 penumpang dan dibuai ombak dalam tempoh dua minit.

Alat permainan ciptaan Itali itu boleh berhayun setinggi 180 darjah dengan kelajuan 45 kilometer sejam.

Permainan lain yang menyeronokan ialah Perak Parade, Dragon Flights, Giddy Galleon atau Adventure Express, kereta api zaman silam.

Satu kelainan LWOT adalah Tambun Hot Springs iaitu kolam khas dibina dengan mengambil air panas dari sumber asalnya sejauh 600 meter.


4. The Cosmo’s World

COSMO’S World adalah taman tema dalaman yang terbesar di Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis permainan khusus untuk seisi keluarga.

Terletak di dalam kompleks beli-belah Berjaya Times Square dengan keluasan melebihi 133,000 kaki persegi, pelbagai kemudahan permainan disediakan.

Secara khususnya, Cosmo’s World dibahagikan kepada dua tema berasingan iaitu Galaxy Station dengan enam cabaran permainan dan Fantasy Garden dengan lapan jenis permainan untuk kanak-kanak dan keluarga.

Bagi yang suka cabaran, cuba permainan Supersonic Odyssey iaitu roller coaster yang bergerak pantas mengelilingi segenap ruang taman tema itu.

Selain itu, cabaran Spinning Orbit yang akan membawa pengunjung naik setinggi 30 meter ke udara dan kemudian berpusing terbalik cukup menyeronokkan.

Beralih ke Fantasy Garden, suasananya menarik. Memasuki zon itu, pengunjung akan disambut dengan bunga-bungaan gergasi, sayuran dan pelbagai hidupan lain di setiap sudut.

Pelbagai permainan khas untuk kanak-kanak yang menanti antaranya Fantasy Trail yang akan membawa pengunjung melalui kawasan taman tema dengan pemandangan yang menarik.

Selain itu, permainan Molly Cool’s Swing iaitu sebuah bot yang bergoncang pastinya cukup menghiburkan.


5. Taman Air Bukit Gambang

TAMAN Air Bukit Gambang (TABG) di Bukit Gambang Resort City dikelilingi hutan rimba semula jadi seluas 219 hektar.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuantan, TABG menjanjikan konsep percutian keluarga penuh keriangan.

Pastinya seronok menggelongsor sepanjang 100 meter dengan enam lorong
di gelongsor air paling tinggi di TABG.

Gelongsor air itu yang dikenali Tin Mine Racer adalah tarikan terbaru taman air itu yang memberi keseronokan tersendiri menuruni ‘lurah air’ ekstrem cukup mencabar.

Bertemakan ‘Stay Cool, Get Wet’, si kecil pasti teruja dengan Penguin Island, apatah lagi dengan ‘kehadiran’ seekor ikan pirana yang ‘memuntahkan’ 250 liter padu air.

Di pulau ini, pengunjung boleh menyertai pengembaraan dengan menyusuri sungai glasier sepanjang 380 meter (m) termasuk 50m di terowong ais.

Tree Top Hill pula menjanjikan cabaran lebih hebat dengan gelongsor air di celah pokok berusia ratusan tahun. Tambah menarik apabila hanyut bersama ahli keluarga di pelampung yang menggelongsor laju sepanjang 104.2 meter, gelongsor galaksi (86.9 meter) dan gelongsor kristal (87.1 meter).

Cabaran Family Raft sepanjang 220 meter adalah terpanjang di Malaysia dan boleh dinaiki sehingga lima orang pada satu-satu masa.


>>Taman Tema Lain Di Malaysia

  • Bukit Merah Lake Town Resort
  • A’Famosa Resort Melaka
  • Taman Tema Air Desa Water Park
  • Taman Tema Air Shah Alam
  • Taman Tema Teluk Danga
  • Taman Tema Air Tiara Beach Resort
  • Taman Tema Air Panas Pedas
  • Taman Tema Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah
  • No comments:

    Post a Comment