Pages

Saturday, December 18, 2010

Rawat diri waktu libur

PASTIKAN anda menyediakan kit perubatan lengkap untuk kembara percutian.



MINYAK angin, paracetamol dan vitamin? Mungkin kurang lengkap sekiranya hanya itu yang anda bawa semasa mengikuti sesebuah perjalanan kembara atau agenda percutian yang panjang.
Seseorang pengembara tidak seharusnya meninggalkan rumah tanpa kit keperluan asas rawatan dan perubatan. Meskipun kandungan kit tersebut mungkin berbeza mengikut destinasi yang dituju, pakar kembara mencadangkan beberapa ubatan dan barangan penting. Apakah yang perlu anda sediakan?

Antiseptik, pembalut seliuh dan sapuan antibiotik
Semakin jauh anda berjalan, semakin tinggi kemungkinan untuk anda mendapat luka, calar atau lecetan kulit. Maka sebelum luka kecil itu menjadi penyebab jangkitan yang lebih memudaratkan, ia perlu segera diberi perhatian. Pek antiseptik mudah bawa kini turut didatangkan dalam bentuk helaian tuala lembap yang kecil.

Ubat cirit-birit (loperamide/pismuth)
Makanan yang tidak diketahui tahap kebersihan dan cara penyediaannya ataupun makanan di negara asing yang berbeza rempah ratus mungkin menyebabkan masalah pada perut.

Plaster perubatan
Walaupun bukan penyelamat nyawa utama, pita atau plaster tampalan adalah jawapan bagi menghindarkan lecetan akibat aktiviti berjalan jauh, treking hutan mahupun pendakian.

Krim pelindung matahari
Mungkin kedengarannya remeh, namun lebih baik beringat sebelum terkena. Keperitan akibat lelasan suria bukan sahaja membuatkan anda berasa tidak selesa, malah meningkatkan risiko mendapat kanser kulit.

Ubat penahan mabuk
Tablet dramamin atau pelekat skopamin mampu mengurangkan rasa tidak selesa akibat mabuk perjalanan. Ubat tersebut tentu menjadi 'sahabat' kepada pengembara yang diuji cabaran pelayaran bot di laut berombak atau laluan darat yang berliku-liku.

Ubat tahan sakit
Ketika percutian anda diduga masalah kesihatan seperti sakit kepala, sakit sendi ataupun demam, ubat tahan sakit mungkin boleh membantu.

Ubat alergi
Jika anda mempunyai alergi terhadap sumber tertentu, bawa bersama pil antihistamin dalam beg kembara. Punca alergi mungkin berubah mengikut altitud, iklim dan diet yang diambil di sesebuah tempat.



Krim penghalau serangga
Repelen nyamuk mengandungi DEET (N,N-dietilmetatoluamida) sangat kritikal jika anda mengembara ke negara tropika yang diancam malaria, demam kuning, denggi dan beberapa lagi penyakit bawaan nyamuk. Pertimbangkan preskripsi antimalaria jika anda bercadang ke destinasi mencabar seperti di Afrika, Amerika Selatan dan India.

Tablet penulenan air
Didatangkan dalam bentuk tablet, paket atau larutan garam rehidrasi oral, amat penting bagi mereka yang sering 'kalah' pada masalah cirit-birit.

Sebelum bertolak ke destinasi luar negara, pastikan anda merujuk kepada doktor mengenai suntikan vaksin yang perlu, mungkin sama ada untuk cacar, influenza atau tetanus. Anda juga perlu beri perhatian terhadap isu kesihatan yang boleh menjejaskan keseronokan percutian seperti masalah asma atau tekanan darah tinggi. Jagalah kesihatan sebelum dan semasa melancong. Selamat berlibur!

1 comment:

  1. salam.. Bertandang daripada blog en.Ben untuk merapatkan silaturahim antara kita. Slm Ukhuwah

    ReplyDelete