Pages

Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Saturday, October 8, 2011

Pengasas Apple Steve Jobs Meninggal Dunia

Steve Jobs
NEW YORK: Syarikat gergasi komputer, Apple pada Rabu mengumumkan kematian pengasas bersama syarikat itu, Steve Jobs akibat kanser.
Beliau berusia 56 tahun.
“Kami bersama amat dukacita untuk mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia hari ini (5 Oktober),” kata lembaga pengarah syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.
Kematian Jobs berlaku selepas Apple melancarkan telefon terbaru iPhone 4S di ibu pejabat syarikat tersebut di Cupertino, California.
Ketika peringkat akhir beliau bergelut dengan penyakit kanser, Jobs melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif tetapi kekal sebagai pengerusi lembaga pengarah Apple.
Ketua Pegawai Operasi Apple, Tim Cook telah dilantik mengambil alih jawatan Steve selepas beliau meletakkan jawatannya pada 25 Ogos lalu.
“Kebijaksanaan, kesabaran dan kecintaannya sebagai sumber inovasi yang terkini telah merubah hidup kita. Dunia tidak akan mampu menjadi seperti hari ini tanpa Steve.

Steve Jobs bersama rakannya, Steve Wonziak ketika era awal penubuhan syarikat Apple
“Cintanya hanya untuk isteri, Laurene dan keluarganya. Hati kami tersentuh dengan kelebihan luar biasa yang dimilikinya ,” kata kenyataan tersebut ketika mengumumkan mengenai kematian Steve.
Masalah kesihatan Steve telah menjadi topik hangat sejak beberapa tahun yang lalu. Beliau menderita penyakit kanser sering mendapat perhatian daripada pencinta produk Apple, pelabur serta ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Berakhirnya sebuah era
Kematian Steve bermakna akhirnya sebuah legasi di syarikat gergasi komputer terkenal dunia Apple.
Beliau mula membuka syarikat komputer Apple bersama rakannya, Stve Wozniak pada akhir 1970 an. Syarikat berkenaan kemudiannya diperkenalkan sebagai syarikat komputer, Apple 1.
Namun selepas beberapa tahun, ia ditukar kepada Apple II dan menjadi sebuah syarikat gergasi komputer yang terkenal pada 1980 sekaligus menjadikan Steve sebagai seorang jutawan yang dikenali di Amerika Syarikat.

Wednesday, May 25, 2011

Skuter elektrik tanpa pencemaran dari Jerman



BERLIN - Sebuah skuter elektrik buatan Jerman yang dijual pada harga 2,112 euro (RM8,944) tidak mengeluarkan sebarang pencemaran, lapor sebuah akhbar semalam.

Skuter itu sepanjang 139 sentimeter (sm), tinggi 62sm dan lebar 35sm selain menggunakan sebuah bateri mudah alih.

Pembeli boleh mengecaj skuter itu di kedai kopi dan di tempat kerja kerana ia menggunakan bateri mudah alih.

Skuter itu berjenama TP yang bermaksud Tante Paula atau ibu saudara Paula dalam bahasa Melayu.
Kelajuan skuter itu ialah 19 kilometer sejam. - Agensi

Sunday, May 22, 2011

Kanak-kanak lapan tahun disuntik botox

BRITNEY CAMPBELL disuntik dengan botox.



SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) – Pihak berkuasa San Francisco sedang menyiasat seorang ibu yang mengakui memberikan suntikan botox antikedutan kepada seorang anak perempuannya yang berusia lapan tahun yang menyertai pertandingan kecantikan, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang ahli kecantikan sambilan, Kerry Campbell mendapat kecaman ramai setelah dia menyuntik wajah anaknya, Britney dengan botox bagi menghilangkan kedutan yang muncul di wajah gadis itu ketika dia tersenyum.

Kerry mendakwa dia hanya memberikan rawatan itu ketika anaknya menyertai pertandingan kecantikan.

Wanita itu menegaskan bahawa anaknya itu meminta dia disuntik dengan botox.
Bagaimanapun, seorang pakar psikiatri, Dr. Charles Sophy berkata, ibu kanak-kanak berkenaan menghadapi risiko serius kerana merosakkan kehidupan anaknya berdasarkan aspek fizikal dan psikologi.

Suntikan botox amat menyakitkan dan tidak disyorkan untuk dilakukan ke atas perempuan di bawah umur 18 tahun. – Agensi

Monday, December 13, 2010

Dua guru 1 kelas

Syor dikemukakan jawatankuasa khas tangani peningkatan beban tugas pendidik

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran merancang menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35 murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah serta melantik jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak bagi mengurangkan beban tugas guru.
Cadangan itu adalah antara 28 perakuan yang dikemukakan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010 yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang menyumbang kepada peningkatan beban tugas guru, termasuk penyertaan dalam terlalu banyak kegiatan kokurikulum dan sukan hingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata satu pelan operasi latihan juga sedang dibangunkan untuk dilaksanakan tahun depan bagi mengurangkan kekerapan guru meninggalkan kelas untuk berkursus.

Malah, katanya, antara perakuan yang sudah diambil tindakan ialah memohon agensi Pusat menempatkan 100 jawatan pembantu tadbir N17 melalui urusan pindah butiran perjawatan di 50 sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1,500 murid untuk mengurangkan tugas perkeranian yang terpaksa dilakukan guru.

Beliau berkata, semua perakuan itu dikemukakan selepas isu beban tugas guru dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.
Katanya, jawatankuasa itu dalam laporannya turut mendedahkan ada guru memegang dan melaksanakan sehingga 30 tugasan di sekolah serta peringkat daerah dan negeri.

Sehubungan itu, katanya, satu jawatankuasa pelaksanaan ditubuhkan dan akan bermesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menyemak status pelaksanaan semua perakuan yang kemukakan jawatankuasa berkenaan.

Mengenai aduan aktiviti sekolah pada Sabtu, Mohd Puad berkata, pekeliling sudah dikeluarkan dengan membenarkan hanya dua Sabtu dalam sebulan dibenarkan aktiviti sekolah dan kegagalan mematuhinya perlu dilaporkan kepada kementerian.

Sementara itu, Presiden NUTP, Hashim Adnan, berkata jawatankuasa berkenaan turut memaklumkan kepada pihaknya berhubung kajian yang dilakukan di beberapa sekolah di Johor dan Melaka, termasuk cadangan mengurangkan peperiksaan dan ujian yang diganti dengan penilaian.

“NUTP difahamkan mulai Januari depan, penilaian itu akan diamalkan setiap bulan yang menjurus kepada ujian pendek dengan soalan disediakan guru.

“Ini bermakna beban guru semakin bertambah lagi dan tiada pengurangan, kita berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.


INFO: Antara beban tugas guru
  • Kekerapan guru keluar berkursus
  • Kokurikulum/sukan
  • Tugas hujung minggu
  • Tugas rencam
  • Tugas tidak jelas
  • Penempatan guru
  • Rantaian arahan (chain of command)
  • Ujian/peperiksaan
  • Silap padanan (mismatch)
  • Saiz kelas
  • Sebaran kurikulum.

    INFO: Antara perakuan tangani isu beban tugas guru
  • Menambah staf sokongan untuk tugas perkeranian
  • Pengwujudan jawatan pembantu bengkel di semua sekolah menengah
  • Menambah jawatan Pembantu Perpustakaan N17
  • Gabungan jawatankuasa pada peringkat sekolah tidak melebihi 10 jawatankuasa
  • Pelan Operasi Latihan Tahunan
  • Aktiviti Sabtu berjadual tidak melebihi 2 kali sebulan
  • Jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak
  • Mewujudkan jawatan Jurulatih Utama Kurikulum
  • Pengenalan kurikulum secara atas talian
  • Penganjuran kursus yang berasaskan sekolah diperluas
  • Guru pembantu bagi kelas melebihi 35 murid untuk sekolah rendah dan 40 pelajar di sekolah menengah
  • Kajian semula bilangan enrolmen pelajar di sesebuah kelas supaya lebih kondusif
  • Pembinaan lebih banyak sekolah di kawasan padat untuk tujuan sekolah satu sesi
  • Pengurangan ‘mismatch’ melalui pelabelan guru serta iktiraf guru melalui latihan.
  • Lebih ramai guru lelaki di kawasan pedalaman dan bandar raya
  • Tempoh perkhidmatan di pedalaman ditetapkan lima tahun
  • Pasangan suami isteri bertugas di pedalaman ditempatkan di sekolah sama atau berhampiran
  • Kemudahan dan persekitaran kerja kondusif
  • Perlindungan insurans takaful semasa menjalankan tugas rasmi di luar sekolah
  • Penyediaan khidmat guaman kepada guru bagi kes berkaitan tugas rasmi.
  • Tuesday, December 7, 2010

    Kalendar bernilai RM8.38 juta


    BENTUK kalendar ukiran kaca yang dihiasi berlian.


    LONDON - Kalendar yang dihasilkan menerusi kaca dan dihiasi dengan berlian dan emas dianggarkan bernilai £1.7 juta (RM8.38 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

    Menurut pengeluar kalendar itu, syarikat Octagon Blue GVC dari Belgium, seramai 50 kakitangan bekerja untuk memastikan ia akan siap menjelang Krismas.

    Kalendar itu mengandungi 24 berlian berharga dan nombor-nombor diukir bagi mewakili hari.

    "Kami berasa gembira dengan kalendar ini dan saya pasti ia akan membuatkan seseorang berasa gembira," kata Pengarah Octagon Blue GCV, Oscar Brethouwer.

    Kalendar itu dibenarkan untuk tujuan pengiklanan dan hasil jualannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan. - Agensi

    Thursday, October 28, 2010

    Malaysia Ke-43 makmur

    Indeks Legatum 2010 letak negara ke-8 termakmur di Asia Pasifik

    KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga ke-43 daripada 110 negara di dunia yang tersenarai dalam Indeks Kemakmuran berdasarkan laporan terkini Legatum Prosperity Index 2010 yang disediakan Legatum Institute.

    Pada peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga kelapan mengikut kajian sama dilakukan badan bebas berkenaan.
    ‘The Prosperity Index’ atau Indeks Kemakmuran memberikan penekanan kepada asas ekonomi, kesihatan, kebebasan, sistem pentadbiran, keselamatan, pendidikan, peluang perniagaan dan hubungan sosial boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan tahap kebahagiaan rakyatnya.

    Legatum Institute adalah badan bebas berpangkalan di United Kingdom yang memberi fokus kepada kajian bebas dan sokongan dasar bagi mempromosikan kebebasan individu, politik dan ekonomi di negara seluruh dunia.

    Menariknya, corak pemilihan indeks kemakmuran oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi semata-mata seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga tujuh bidang seperti keusahawanan dan peluang perniagaan, sistem pentadbiran, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebebasan individu dan modal sosial.

    Hasil kajian badan itu mengekalkan kedudukan Malaysia seperti tahun lalu, melalui tujuh bidang berkenaan iaitu ekonomi di tangga ke-21; keusahawanan dan peluang perniagaan (34); sistem pentadbiran (34); pendidikan (45); kesihatan (44); keselamatan (52); kebebasan individu (90) dan hubungan sosial (90).
    Rumusan kajian ini meletakkan asas ekonomi serta keusahawanan dan peluang perniagaan serta sistem pentadbiran dilihat sangat kukuh tetapi kebanyakan bidang lain berada dalam keadaan sederhana.

    Kajian itu meletakkan Norway pada kedudukan pertama, manakala Zimbabwe pula di tangga yang terakhir.

    Singapura pula negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke-17 sama seperti tahun lalu, manakala Thailand pula tangga ke-52 (naik dua anak tangga daripada tangga 54), Filipina turun daripada 61 ke-64 dan Vietnam turun daripada 50 ke-61.

    Jepun adalah negara Asia yang menduduki tempat tertinggi tahun ini, iaitu tempat ke-18 susut dua anak tangga berbanding tahun lalu, manakala China di tangga ke-58, manakala India (88).

    Namun mengejutkan kedudukan Hong Kong yang merosot kepada kedudukan ke-20, sedangkan dua tahun lalu menduduki antara 10 negara makmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

    lihat ranking..

    Monday, October 25, 2010

    Sejarah wajib lulus 2013


    Kementerian Pelajaran perlu masa latih guru ajar silibus baru

    KUALA LUMPUR: Sejarah menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dan dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) tahun berikutnya.

    Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata syarat wajib lulus itu seperti mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai syarat mendapat SPM.

    Sambil menjelaskan keputusan Kementerian Pelajaran itu selaras pandangan sebahagian besar perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010, beliau berkata, Sejarah ketika ini mata pelajaran teras pada peringkat sekolah menengah yang wajib diambil semua pelajar tetapi tidak wajib lulus.

    “Kita kena beri masa sedikit bagi mengelakkan terkejut. Tempoh diperlukan untuk kita melatih guru dan menyediakan pelajar menghadapi sistem baru ini,” katanya ketika menggulung perbahasan, semalam.

    Dalam konteks sama, Muhyiddin berkata, Sejarah dijadikan mata pelajaran teras mengikut KSSR mulai 2014, berbanding elemennya diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini.

    Katanya, KSSR dilaksanakan dari Tahun Satu mulai tahun depan, diikuti Tahun Dua dan seterusnya sehingga lengkap satu pusingan pada 2016.
    “Kurikulum baru ini adalah penambahbaikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).
    KSSR akan memberi penekanan kepada pendekatan secara hands-on learning, di samping keupayaan berbahasa, pembelajaran berasaskan projek dan pelbagai jenis pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.

    Wednesday, October 20, 2010

    BH Online laman berita nombor satu


    KUALA LUMPUR: Berita Harian Online muncul sebagai laman berita tempatan nombor satu, mengatasi laman web akhbar arus perdana dan portal berita lain menerusi kajian terbaru agensi penyelidikan media, Nielsen, mengenai corak pilihan pembaca akhbar dalam talian (online) utama.

    Kajian Nielsen Media Index bagi tempoh Julai 2009 hingga Jun 2010 menunjukkan Berita Harian Online menjadi pilihan 33 peratus daripada 1.4 juta pembaca, diikuti satu lagi penerbitan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, MyMetro (Harian Metro) 29 peratus dan NST Online di tempat keenam dengan 11 peratus.

    Kajian itu menunjukkan peratusan mereka yang membaca akhbar bercetak masih jauh mendahului versi online iaitu 72 peratus. Jumlah mereka yang hanya membaca versi online ialah satu peratus manakala sembilan peratus membaca kedua-duanya.

    Sementara itu, Berita Harian Online terus mendahului pesaing lain dari segi penyertaan laman sosial dengan 232,776 peserta Facebook sejak dilancarkan hampir setahun lalu.

    Monday, October 18, 2010

    bonus untuk penjawat awam dikurangkan dalam bajet 2011


    KUALA LUMPUR 16 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh memberi bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan besar sebanyak RM3.1 bilion. Beliau berkata, pembayaran sebanyak itu jika dilaksanakan akan menyebabkan perbelanjaan negara melebihi pendapatan.
    ‘‘Saya tahu banyak yang lobi saya supaya mengisytihar bonus satu bulan, tetapi saya nak kongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan bahawa bonus satu bulan ini menelan belanja sebanyak RM3.1 bilion.
    ‘‘Kalau ikut hati memang saya hendak bagi bonus, tetapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab, saya tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan negara,” katanya.
    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri yang dihadiri 14,000 guru dari seluruh negara di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini. Turut hadir timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semalam, Najib mengumumkan penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi meringan beban dan menampung perbelanjaan persiapan sekolah untuk anak-anak. Bantuan kewangan itu yang dibayar pada Disember ini akan diberikan kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan. Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pemberian RM500 itu adalah langkah sehabis baik yang boleh beliau lakukan bagi meringankan beban penjawat awam.
    ‘‘Sekurang-kurangnya akhir tahun kita bagilah sedikit sumbangan hendak beli baju, kasut serta beg sekolah dan ini sangat-sangat berguna sekali.
    ‘‘Kerajaan juga bermurah hati untuk panjangkan sumbangan ini kepada pesara kerajaan walaupun barangkali mereka tidak ada anak-anak lagi (yang bersekolah),” katanya.
    Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau sedang meneliti beberapa memorandum yang disampaikan oleh wakil guru yang mencadangkan supaya dilakukan penambahbaikan kepada skim perguruan.
    ‘‘Saya pohon masa sedikit untuk meneliti implikasi kewangannya sebab guru ini bilangannya 400,000 orang. Kalau kita darab apa-apa pun dengan bilangan ini, ia akan menjadi jumlah yang amat besar sekali.
    ‘‘Sebab itulah saya perlu meneliti bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. Sekiranya kerajaan mampu, Tan Sri Muhyiddin boleh buat pengumuman bila sampai masanya,” jelasnya

    Thursday, October 7, 2010

    Malaysia catat kadar kes nahas jalan raya paling tinggi

    KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara yang paling tinggi dalam kadar kes kematian kemalangan jalan raya di dunia dengan kematian setiap bagi 100,000 penduduk, yang disebabkan kelakuan pemandu.

    Pakar psikiatri veteran Tan Sri Dr M. Mahadevan berkata kebanyakan pengguna jalan agresif dan pemandu yang melanggari lampu isyarat warna merah untuk berhenti, adalah mereka dalam kumpulan personaliti Jenis A.

    “Orang dalam personaliti Jenis A tidak mudah mengikuti peraturan sehingga dan kecuali mereka dengan secara sedar memberitahu dirinya sendiri untuk berbuat demikian.
    “Kebanyakan personaliti Jenis A yang cenderung melanggar lampu isyarat warna merah adalah mereka yang sentiasa bergerak dengan pantas," katanya dalam kenyataan semalam.

    Sementara itu Presiden Pusat Pakar Psiokologi Malaysia Dr Edward Chan berkata pemandu berdaya saing tinggi dan yang sibuk dengan tugas, sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa untuk sampai secepat mungkin ke destinasi yang dituju dan ini adalah faktor besar yang menyebabkan kemalangan jalan raya.

    “Personaliti Jenis A adalah mereka yang tidak sabar, dan ini dibuktikan di jalan raya apabila pemandu mencuba untuk memotong kereta yang bergerak perlahan di hadapannya," katanya.

    Menurut kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (MIROS), daripada 41,560 kemalangan yang dicatatkan pada 2008, 10,862 kemalangan disebabkan kelakuan pemandu yang rakus.
    Antara sebab kemalangan ialah memandu dengan laju, memandu dengan jarak dekat, pemanduan tidak berhati-hati, memotong dalam keadaan berbahaya dan mengingkari lampu isyarat jalan.

    Kajian itu juga menunjukkan daripada 9,095 kes kemalangan jalan yang menyebabkan kematian pada tahun 2008, menurutnya 1,630 kes kematian adalah disebabkan pemandu.

    Sementara itu, di SYDNEY, beberapa penyelidik daripada Universiti Queensland, Australia yang ditugaskan untuk mengkaji kesan kamera kelajuan dengan menganalisis 35 kajian daripada Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Denmark, Finland, Britain, Hong Kong, Belanda, New Zealand dan Norway mendapati, kamera mengesan kelajuan berjaya mengurangkan kelajuan satu hingga 15 peratus dan peratusan kenderaan melebihi had laju antara 14 hingga 65 peratus.-