Pages

Sunday, October 3, 2010

Meredakan kepenatan


SETIAP kali balik daripada bercuti banyak kerja perlu dilangsaikan, terutama bagi mereka yang berurusan dengan orang ramai. Ada juga yang merancang untuk bercuti lama selepas Aidilfitri; dan seperti biasa sebelum hari terakhir bekerja ramai bertungkus lumus melangsaikan kerja sehingga ada terpaksa berjaga malam.


Langkah terbaik untuk mengelak terjadinya sebarang masalah, berehatlah seketika setiap satu atau dua jam. Ada beberapa panduan ringkas yang mudah dilakukan seperti:

A. Merehatkan mata


Panduan ini sangat berguna bagi individu yang banyak menggunakan komputer dan melakukan kerja seni halus, termasuk menjahit.

  • Cara paling mudah untuk merehatkan mata ialah dengan memejamkan mata selama beberapa saat. Bayangkan perkara yang menyenangkan hati.

  • Mengadap komputer sepanjang hari boleh meletihkan mata. Anda boleh beli penapis skrin komputer kerana tekanan pada mata boleh dikurangkan dengan merendahkan kesilauan dari skrin komputer.
  • Bagi yang memerlukan bantuan kaca mata untuk penglihatan jarak dekat, pakai kaca mata anda apabila melakukan kerja sama atau membaca. Jangan paksa mata anda untuk bekerja kerana ia membuat mata cepat penat.

  • Rehatkan mata dengan duduk bersandar (atau berdiri) dan lihat objek yang jauh. Alihkan penglihatan anda ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Kelipkan mata dengan kerap, terutama bagi anda yang banyak menggunakan komputer, untuk membersih dan melembapkan mata anda.

  • Untuk merangsang aliran darah di keliling mata, ambil tuala kecil dan rendam dalam air suam. Perah tuala, tekapkan di atas mata anda dan biarkan seketika.

  • Anda juga boleh melakukan yoga mata. Jangan risau, ini bukan yoga seperti yang anda lihat dalam televisyen atau di pusat kesihatan. Yang anda perlu lakukan hanya menggosok kedua-dua belah tapak tangan sehingga terasa hangat. Tekapkan tapak tangan pada mata selama lima hingga 10 saat.

  • Mata yang kering akan cepat terasa letih dan sakit. Masalah ini boleh diatasi dengan berehat (mengalihkan pandangan daripada kerja) dan mengelipkan mata beberapa kali atau menitiskan beberapa titik cecair pelembap mata.

  • Pastikan juga cahaya di dalam bilik anda bekerja itu cukup terang. Cahaya malap akan memaksa mata anda untuk mengadaptasi dengan persekitaran yang kurang terang dan membuatkan mata cepat penat.

  • Jangan pakai kanta lekap melebihi waktu disarankan. Jika anda terpaksa bekerja lebih masa, disarankan memakai kaca mata.

  • Kurang tidur dan rehat juga boleh menyebabkan terbentuknya gelang hitam di sekeliling mata. Untuk mengatasi keadaan ini, letakkan hirisan timun atau kentang di atas mata. Ia juga akan menyegarkan mata anda.

  • Apabila anda membuat teh, rendamkan uncang teh dalam air panas. Selepas mendapat kepekatan yang dikehendaki, keluarkan uncang teh berkenaan dan baru masukkan gula ke dalam teko. Simpan uncang teh ini dalam bekas bertutup dalam peti sejuk. Ia boleh ditekapkan pada mata untuk menghilangkan keletihan mata.

    B. Urutan leher dan bahu

    Urutan, terutama pada leher dan bahu, boleh melegakan ketegangan otot serta melancarkan perjalanan darah. Belajar cara mengurut yang betul dan anda juga boleh meminta orang membantu anda.

  • Minta pasangan duduk dengan selesa, pejamkan mata dan fikirkan mengenai perkara yang menenangkan. Tanggalkan kaca mata jika ada. Berdiri di belakangnya dan letakkan tangan di atas bahu.

  • Letakkan ibu jari di tengkuk dan urut perlahan hingga ke bahu dan kembali ke tengkuk. Ulang tiga kali.

  • Gunakan kedua-dua belah tangan dan urut bahu hingga ke lengan atas. Ulang tiga kali.

  • Urut dengan ibu jari bermula dari bawah tengkuk menghala ke luar menjauhi tulang belakang. Ulang tiga kali.

  • Urut dengan ibu jari di bahagian bawah tengkuk menggunakan teknik memutar.

  • Letakkan satu tangan atas dahi dan satu lagi di tengkuk. Dengan perlahan-lahan pusingkan kepalanya ke kanan dan ke kiri.

  • Gunakan semua jari untuk mengurut bahagian dahi dan terus ke tepi kepala dengan menggunakan teknik memutar. Ulang tiga kali.

  • Letakkan kembali tangan di atas bahu pasangan dan picit perlahan.

    C. Latihan pernafasan:

  • Berdiri dengan menjarakkan kaki selebar bahu dan longlaikan tangan di sisi.

  • Pejamkan mata dan tundukkan kepala ke depan.

  • Tarik nafas perlahan-lahan, dalam-dalam melalui hidung dalam kiraan 10. Letakkan tangan di atas perut dan cuba rasai perut anda bergerak ke depan (naik) apabila anda menarik nafas. Tahan seketika.

  • Hembus nafas perlahan-lahan melalui mulut (dalam kiraan 10). Tenangkan fikiran dan hati ketika anda menghembuskan nafas.

  • Ulang langkah di atas sebanyak lima kali dan buka mata perlahan-lahan.

    D. Latihan rehatkan otot

    Ini adalah latihan menegang dan merehatkan otot secara berperingkat-peringkat; iaitu satu kumpulan otot pada satu masa. Anda boleh memulakan dengan mana-mana kumpulan otot contohnya di leher. Caranya tegangkan otot di leher ketika anda menarik nafas dan rehatkan otot ini apabila menghembuskan nafas.

    Ulang kaedah sama untuk otot di bahu, abdomen, pinggul dan kaki. Ulang beberapa kali dan anda akan berasa lebih lega. Selain itu menunaikan solat juga antara cara terbaik untuk merehatkan badan dan fikiran.
  • No comments:

    Post a Comment