Terlebih makan
Kurang bersenam
Kurang tidur - Jika kita berjaga hingga lewat malam, kita akan lebih cenderung untuk makan dan ini akan meningkatkan pengambilan kalori. Apabila kita tidur lewat, proses biologi badan akan merosot dan hormon yang memberi kesan kepada selera akan mengambil alih menyebabkan anda berasa lebih lapar pada waktu pagi. Hormon ini juga akan membuatkan kita berasa kurang kenyang selepas makan.
Tekanan - Apabila dalam keadaan terlalu tertekan, badan akan berada dalam mod berjuang dengan menghasilkan hormon kortisol (hormon tekanan) yang akan menyebabkan selera makan bertambah. Biasanya dalam keadaan tertekan, kecenderungan untuk makan juga meningkat bagi melegakan fikiran dan perasaan. Ketika inilah kita cenderung memilih makanan yang tinggi kandungan kalori - secara tidak langsung mengukuhkan asas kepada masalah berlebihan berat badan.
Pengambilan ubat antikemurungan - Antara kesan sampingan pengambilan ubat penenang ialah peningkatan berat badan yang berlaku pada kira-kira 25 peratus pengguna terutama jika ia diambil dalam jangka masa panjang. Bincanglah dengan doktor untuk menukar ubat jika anda turut mengalami perkara sama. Ada orang yang berat badannya bertambah sebaik memulakan pengambilan ubat; kerana apabila fikiran tenang, selera makan turut bertambah.
Ubat antikeradangan seperti corticosteroid - Selain mengurangkan atau menghentikan keradangan, ia juga boleh menyebabkan retensi air dan peningkatan selera. Bagaimanapun, kesannya berbeza mengikut pesakit dan dos yang diambil.
Masalah hipotiroidisme - Ia bermakna kelenjar tiroid (terletak di leher) tidak dapat menghasilkan hormon tiroid secukupnya menyebabkan anda cepat berasa letih, lemah, sejuk dan berat badan bertambah. Ketidakcukupan hormon tiroid akan memperlahankan metabolisma, membuatkan berat badan lebih cepat meningkat. Malah berat badan juga boleh bertambah walaupun paras hormon berada pada had terendah dalam julat normal.
Penuaan - Penuaan juga akan memperlahankan metabolisma dan pembakaran kalori mengambil masa yang lebih lama. Apabila usia meningkat kita juga menjadi kurang aktif. Bagi wanita menopaus, pengumpulan lemak biasanya berlaku di pinggang; dan bukannya di pinggul dan paha seperti wanita muda.
Sindrom Polisistik Ovari (PCOS) - Ini adalah masalah hormon yang lazim di kalangan wanita muda. Banyak sista kecil tumbuh pada ovari wanita yang mengalami PCOS dan ia menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang turut menjejaskan kitaran haid wanita berkenaan, pertumbuhan bulu roma berlebihan dan jerawat. Wanita PCOS juga mengalami masalah kerintangan insulin (kurang sensitif pada insulin untuk mengangkut gula daripada darah masuk ke dalam sel); mengakibatkan berat badan mereka meningkat.
Berhenti merokok - Nikotin akan menumpulkan selera dan sensitiviti deria rasa pada lidah. Apabila seseorang itu berhenti merokok, keadaan akan kembali normal dan inilah yang menyebabkan selera makan bekas perokok bertambah. Secara purata orang yang berhenti merokok mengalami pertambahan berat antara dua hingga empat kilogram. Bagaimanapun pertambahan berat badan ini boleh dikawal dengan mengawal jumlah makanan yang diambil. Janganlah ada perokok yang menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak berhenti merokok kerana di kalangan perokok tegar pun ramai yang gemuk.
Jika anda mengalami masalah berat badan:
Jangan berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor. Ketahui fungsi dan kepentingan ubat yang anda ambil. Ia mungkin sangat penting untuk kesihatan anda. Biasanya apabila doktor memberikan anda ubat, dia sudah membuat pertimbangan antara manfaat dan kesan sampingan yang mungkin anda hadapi.
Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain yang mengambil ubat sama. Setiap orang mempunyai tindak balas berbeza dan bukan semua orang akan mendapat kesan sampingan yang sama. Begitu juga dengan ubat menguruskan badan. Pada A ia mungkin berkesan tetapi tidak semestinya ia akan memberi kesan yang sama pada anda.
Jangan panik jika penambahan berat badan anda disebabkan retensi air kerana ia hanyalah sementara. Kesan ini akan hilang sebaik anda menghabiskan pengambilan ubat berkenaan.
Mulakan program mengawal makan dan bersenam. Ia bukan saja membantu mengatasi masalah anda tetapi akan meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
No comments:
Post a Comment