TIADA seorang pun peserta bengkel (wartawan wanita) mengangkat tangan apabila pakar bertanya siapa yang memeriksa seluruh badannya (termasuk kemaluan) setiap bulan. Rutin bulanan dilakukan cuma melihat keadaan luaran (warna kulit) dan pemeriksaan sendiri payudara (BSE).
Kepercayaan begini menyebabkan ramai wanita lambat menyedari sebarang perubahan luar biasa pada dirinya. Lebih membimbangkan apabila perubahan itu disebabkan masalah kesihatan.
Sebenarnya masih ramai antara kita mewarisi kepercayaan, mitos atau salah anggapan daripada nenek moyang.
Menurut kajian BodyLife IQ Kotex yang disiarkan baru-baru ini ke atas 1,800 remaja wanita berusia 16 hingga 24 tahun di enam negara Asia, hampir 97 peratus gadis di seluruh Asia mempunyai pengetahuan cetek mengenai tubuh mereka dan bagaimana ia berfungsi walaupun maklumat tepat mengenainya sangat mudah didapati.
Daripada perkara asas kewanitaan seperti keperawanan, haid atau kehamilan kepada pengetahuan lebih rumit mengenai tubuh manusia, kajian itu mendedahkan ramai gadis masa kini masih dibelenggu mitos dan pantang larang sama seperti generasi sebelum mereka.
Antara mitos atau kepercayaan salah mengenai tubuh ialah:
MITOS 1: Menyentuh payudara seseorang akan menjadikannya semakin besar.
Sebanyak 60 peratus responden dari Malaysia, India (55 peratus) dan Indonesia (53 peratus) beranggapan menyentuh payudara akan menjadikan ia bertambah besar, sementara 38 peratus responden dari Singapura percaya makan betik dapat membantu membesarkan payudara.
FAKTA: Sebanyak 85 peratus kandungan payudara wanita adalah lemak. Oleh itu satu-satunya cara menjadikan ia lebih besar ialah dengan menambah berat badan. Menyentuh atau memicit tidak akan menjadikan ia lebih besar.
Namun begitu, senaman tertentu dapat membesarkan otot pektoral di bahagian bawah payudara dan menambah saiz payudara anda. Berhati-hati dengan pil, pelekat atau krim yang dikatakan dapat meningkatkan saiz payu dara kerana kebanyakannya tidak berkesan.
MITOS 2: Anda boleh tahu seseorang gadis itu masih perawan melalui cara dia berjalan atau senyum.
Satu pertiga daripada wanita Malaysia (33 peratus) percaya keperawanan seseorang gadis boleh diketahui dengan memerhati cara dia berjalan. Kepercayaan di India lebih aneh kerana mereka percaya perkara ini boleh dikenal pasti melalui senyumannya!
Di Filipina pula 11 peratus wanita percaya saiz vagina (faraj) menentukannya. Kira-kira 24 wanita Filipina dan 14 peratus wanita Malaysia juga bertanggapan anda boleh hilang keperawanan melalui seks oral.
FAKTA: Tidak ada definisi perubatan berkenaan keperawanan meskipun ensiklopedia dan kamus mendefinisikan keperawanan sebagai tidak pernah melakukan aktiviti seksual. Malah selaput dara yang pecah tidak bermakna hilang keperawanan kerana beberapa aktiviti sukan lasak boleh mengakibatkan ia pecah.
Oleh itu sukar mengatakan sama ada seseorang wanita itu masih perawan; apatah lagi dengan melihat cara beliau berjalan, bercakap atau tersenyum!
MITOS 3: Sesetengah amalan dapat memanjangkan atau memendekkan kitaran haid.
Dua puluh satu peratus wanita Malaysia beranggapan makan banyak akan membantu menjadikan haid mereka datang lebih awal dan berakhir dengan cepat. Ada yang percaya mereka sepatutnya makan dengan banyak supaya haid lebih cepat habis.
Wanita Indonesia dan Filipina pula mempunyai amalan aneh untuk memendekkan haid mereka – enam peratus wanita Indonesia percaya dengan memijak tuala ketika haid pertama akan menamatkannya dalam masa tiga hari, sementara wanita Filipina percaya ia boleh dicapai dengan melangkau tiga anak tangga.
FAKTA: Salah tanggapan biasa ialah haid adalah pendarahan dalaman. Untuk memahami proses haid, seseorang mesti tahu bagaimana sistem peranakan berfungsi. Organ peranakan mengandungi ovari, tuib fallopia, rahim dan vagina.
Setiap bulan, ovari menghasilkan telur yang turun melalui tuib fallopia. Pada masa sama, lapisan tisu rahim menjadi semakin tebal sebagai persediaan terhadap kehamilan jika berlaku hubungan seksual dan telur disenyawakan oleh sperma.
Jika telur tidak disenyawakan, ia akan dilarutkan. Lapisan tisu rahim kemudian dilupuskan bersama larutan telur dan keluar dari badan sebagai darah haid. Ia tiada kaitan dengan darah daripada salur darah.
Ada wanita mengalami kekurangan darah ketika haid. Perkara ini boleh berlaku kerana pada dinding rahim ada salur darah yang sangat halus dan salur darah ini boleh mengalami pendarahan. Tidak diketahui mengapa dan bagaimana ia berlaku.
Langkah mengatasi masalah kekurangan darah ialah mengambil makanan yang kaya zat besi seperti hati dan kerang. Amalan makanan seimbang juga dapat mengurangkan masalah ini.
Kini ada ubat boleh meringankan haid tetapi amalan seperti memijak tuala, melangkau tiga langkah pada tangga atau banyak makan adalah kaedah yang tidak terbukti berkesan.
Wanita yang menggunakan alat pencegah kehamilan (IUS) juga tidak perlu risau apabila haid mereka sangat sedikit berbanding biasa.
Ini kerana hormon daripada IUS menghalang persenyawaan dan dinding rahim kekal nipis. Kesannya darah haid jadi sedikit; bukan sebab darah terkumpul dalam rahim!
MITOS 4: Memakai coli mengakibatkan kanser payudara.
Kira-kira 70 peratus wanita Vietnam, Malaysia (55 peratus), Filipina (42 peratus) dan India (41 peratus) menganggap memakai coli meningkatkan risiko kanser payudara.
FAKTA: Saintis belum dapat mengenal pasti punca sebenar kanser payudara. Menurut kajian, risiko mendapat kanser payudara meningkat berdasarkan faktor usia, sejarah keluarga, genetik, perubahan genetik, kurang bersenam, alkohol dan merokok.
Tiada bukti saintifik menunjukkan pemakaian coli memberi kesan secara langsung terhadap kanser payudara, tetapi wanita dinasihatkan memakai coli sesuai untuk mengelak masalah payudara.
MITOS 5: Mangkuk tandas boleh mengakibatkan penyakit kelamin, HIV/Aids atau kehamilan.
Hampir 20 peratus wanita Malaysia bertanggapan mangkuk tandas yang kotor boleh mengakibatkan penyakit kelamin, sementara 39 peratus percaya memakai pelapik seluar dalam setiap hari boleh mengakibatkan jangkitan vagina.
FAKTA: Virus yang menyebabkan penyakit kelamin (STD) tidak boleh bertahan lama di luar tubuh manusia. Oleh itu, mangkuk tandas, tombol pintu, tuala hotel atau cadar tidak menyebabkan jangkitan STD atau HIV/Aids.
STD boleh berjangkit melalui hubungan seks, bersentuhan secara langsung seperti bercium, hubungan sulit dan penggunaan produk seks yang tercemar.
Manakala HIV/Aids pula berjangkit melalui pemindahan darah (termasuk jika anda luka dan menyentuh pesakit yang alami pendarahan), hubungan seks dan berkongsi jarum suntikan, terutama di kalangan penagih dadah.
Segera dapatkan bantuan perubatan jika dijangkiti STD kerana ia bukan saja menyakitkan dan menyusahkan, malah boleh menjangkiti pasangan anda.
No comments:
Post a Comment