PASTINYA ramai golongan muda kini berpeluang melancong atau mengembara ke destinasi idaman masing-masing. Sama ada lokasi domestik mahupun di luar negara, sistem pengangkutan yang efisien, dipercayai dan murah membolehkan mereka berbuat demikian.
Maka, menjelang rutin hujung tahun dan sempena cuti sekolah atau semester universiti, ramai yang mengambil kesempatan untuk melancong bersama keluarga atau teman-teman.
Trend menghabiskan waktu cuti di luar negara kini menjadi pilihan orang muda, apatah lagi dengan pelbagai tawaran menarik oleh syarikat penerbangan tambang murah.
Minggu ini GenK ingin berkongsi beberapa tip sebagai persediaan kepada anda sebelum berlepas ke luar negara. Perancangan rapi sedikit sebanyak akan membantu memudahkan perjalanan anda sekeluarga.
Pasport
Pasport merupakan dokumen terpenting kepada anda untuk melepasi sempadan antarabangsa. Pastikan dokumen itu sudah disediakan sebulan lebih awal supaya anda tidak tergesa-gesa.
Jika hendak melawat ke negara tertentu yang memerlukan visa, pastikan perkara itu diuruskan secepat mungkin sebelum tarikh yang dijangka untuk berlepas. Baki tempoh sah pasport juga perlu sekurang-kurangnya enam bulan.
Peta
Peta menunjukkan banyak maklumat perjalanan penting bagi memudahkan anda mengenali sesebuah negara. Ia membantu menunjukkan laluan atau lokasi menarik di negara tersebut.
Seelok-eloknya belajar dahulu mengenali tempat menarik yang ingin dikunjungi ketika berada di tanah air.
Ubat-ubatan
Sediakanlah peralatan kecemasan yang ringkas seperti plaster, ubat tahan sakit, ubat tahan muntah dan ubatan berkaitan bagi menjamin keselesaan perjalanan.
Sekiranya menghidap sakit kronik, seeloknya sediakan sejumlah ubat diperlukan yang dapat menampung tempoh percutian anda.
Makanan
Kadangkala amat sukar untuk mendapatkan makanan halal di kebanyakan negara. Bawalah makanan kering seperti biskut, mi segera, sardin mahupun minuman segera yang mudah dibawa sebagai persediaan awal.
Namun, pembawaan bahan-bahan itu bergantung kepada undang-undang atau larangan yang dikuatkuasakan di negara tersebut.
Mata wang
Sediakan jumlah wang yang secukupnya bagi pelbagai tujuan ketika di luar negara. Sebaik-baiknya lakukan pertukaran mata wang negara yang ingin dilawati ketika masih berada di tanah air.
Tindakan itu lebih menguntungkan kerana mata wang asing dijual lebih murah dalam negara berbanding di negaranya.
|
|
Jangan lupa asingkan sebahagian wang yang dibawa untuk digunakan ketika berlaku kecemasan. Anda harus ingat untuk menyediakan wang untuk bayaran cukai lapangan terbang yang mencukupi kerana setiap negara mempunyai nilai cukai yang berbeza.
Status negara dilawati
Bagi memastikan perjalanan anda selamat dan tidak terganggu, adalah penting untuk anda mengetahui keadaan semasa yang berlaku di negara tersebut. Bacalah laporan akhbar mengenai keadaan politik, cuaca dan bencana alam yang berlaku.
Pejabat kedutaan
Kenal pasti lokasi sebenar pejabat kedutaan Malaysia di negara yang ingin dikunjungi. Ia penting untuk memudahkan anda dan kerajaan sekiranya ditimpa musibah.
Sekiranya berlaku kecemasan segeralah menghubungi pihak kedutaan negara kita untuk mendapatkan bantuan.
Beritahu kenalan
Jangan lupa untuk memberitahu ahli keluarga mahupun rakan-rakan mengenai lokasi dan tempoh perjalanan anda. Sekiranya berlaku kecemasan, merekalah antara orang terawal akan memberikan bantuan kepada anda.
Bahasa
Bersedialah untuk berdepan dengan penduduk tempatan yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Jangan lupa untuk membawa kamus bahasa tempatan.
Jangan segan untuk menggunakan bahasa isyarat dengan mereka kerana itu merupakan kaedah terbaik untuk berkomunikasi sekiranya mereka tidak tahu berbahasa Inggeris.
Anda juga boleh mendapatkan bantuan penyambut tetamu hotel untuk menulis ayat-ayat ringkas bagi memudahkan komunikasi anda dengan penduduk tempatan.
Pakaian
Sediakan pakaian dalam jumlah yang minimum dan pakaian yang ringan bagi memudahkan pergerakan anda. Kasut yang sesuai dan topi jangan diketepikan selain baju tebal sekiranya melawat negara yang sedang mengalami musim sejuk.
Lesu pesawat
Perubahan waktu yang ketara pasti berlaku sekiranya terbang jauh ke benua lain. Situasi itu sedikit sebanyak merubah masa tubuh kita dan menyebabkan kesukaran tidur. Bersedialah lebih awal bagi menghadapi situasi itu. Berehatlah dengan secukpnya ketika tiba di sana.