Pages

Wednesday, September 28, 2011

Gergasi hidup

pix_gal0
Lelaki Turki miliki ketinggian 2.5 meter, tapak tangan 27.4 sm terbesar di dunia

AWAL kehidupannya biasa saja - biasa yang membawa maksud zaman kanak-kanaknya dalam keadaan normal seperti juga rakan sebayanya. Namun biasa itu berubah menjadi luar biasa sebaik usianya mencecah 10 tahun.

Luar biasa itu pula bertukar menjadi satu kejanggalan kepada dirinya dan lebih menambah perisa kepada keunikan itu ketika namanya, Sultan Kosen, 28, tercatat dalam Guiness Book of World Records sebagai lelaki tertinggi dunia bukan saja untuk tahun ini tetapi sejak 20 tahun lalu.
Dilahirkan di Mardin, Turki, pada 10 Disember 1982, Kosen, adalah antara 12 individu dalam sejarah perubatan yang disahkan memiliki ketinggian 2.5 meter atau lebih dan mengatasi pemegang gelaran itu sebelum ini, Bao Xishun, yang memiliki ketinggian 2.36 m.
Tidak cukup dengan itu, Kosen itu memilik tapak tangan terbesar di dunia yang berukuran 27.4 sentimeter!

Tinggal bersama-sama ibu bapa dan tiga adik beradik, yang semuanya memiliki ketinggian normal, Kosen, tidak menghabiskan pendidikan kerana ketinggian itu dan bekerja separuh masa sebagai petani.

Enggan membiarkan diri dibelenggu pelbagai perasaan kerana sedikit ganjil daripada orang lain, Kosen, gembira menikmati kehidupan biasa dan seronok bermain permainan komputer dengan rakan-rakannya.

Kosen juga menggambarkan kelebihan memiliki ketinggian melebihi paras normal sebagai mudah dilihat daripada jauh, boleh membantu keluarganya dengan kerja domestik seperti menukar mentol dan menggantung langsir.
Masalahnya cuma sukar mencari pakaian dan kasut yang muat dengan saiz tubuhnya atau amat susah memasuki kereta biasa.

Ditanya apakah harapannya selepas diberi gelaran itu secara rasmi, Kosen berkata: “Untuk melancong dan melihat dunia serta memiliki kereta yang sesuai dengan saiz saya! Impian terbesar saya ialah berkahwin dan mempunyai anak. Saya sedang mencari cinta.”

Kosen yang memiliki ketinggian 2.5 meter disahkan mengalami masalah ‘pituitary gigantism’ pada usia 10 tahun selepas doktor menemui tumor atau ketumbuhan di belakang matanya. Ketumbuhan itulah yang meletakkan tekanan berlebihan pada kelenjar pituatari dan menyebabkan ketinggian melampau. Dia menjalani beberapa siri pembedahan yang akhirnya berjaya menghentikan pertumbuhannya tahun lalu.

Malangnya, kelebihan itu datang bersama pakej dalam bentuk masalah kesihatan. Ketika ketinggiannya boleh membuatkan ejen pencari bakat pemain bola keranjang teruja, Kosen sebenarnya menderita sakit lutut yang memerlukan dia menggunakan tongkat untuk hampir semua aktivitinya.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kemiskinan keluarga Kosen yang bermakna dia tidak mampu menjalani fisioterapi dan tempat tinggal di kawasan terpencil di Turki yang memerlukan masa 17 jam untuk sampai menaiki kereta, lebih menyukarkan.

Pengiktirafan Guinness World Record nyata memberi manfaat kepada Kosen kerana keistimewaan yang ditawarkan akhirnya membuatkan Kosen sedar ketinggiannya adalah sesuatu yang perlu diraikan, bukan memilih untuk meminggirkan diri.

Sebelum ini, ketinggian melebihi paras normal dan usikan orang ramai kerap menjadikan Kosen lebih senang bersembunyi tetapi kini dia menikmati perhatian itu.

“Sehingga hari ini, saya berdepan kehidupan yang sukar. Namun saya gembira. Bermula hari ini, hidup semakin mudah untuk saya,” katanya.

Pihak Guinness juga tidak mengambil kesempatan ke atas keadaan Kosen untuk mempromosikan buku itu sebaliknya cuba membetulkan banyak benda dalam kehidupan lelaki itu. Kesukarannya berdiri untuk jangka masa tertentu menyukarkan Kosen untuk mendapat kerja walaupun dia membantu dengan memandu traktor di ladang milik keluarganya.

Syarikat itu kini dalam perbincangan dengan pengarah filem dokumentari untuk memaparkan kehidupan Kosen dan kesukarannya berdepan dengan saiz tubuh besar serta berharap ia dapat memberikan pendapatan kepada Kose.

“Ketika lawatan, mereka mengenal pasti cara melancong terbaik untuk saya, dan memastikan katil cukup besar untuk saiz tubuh saya termasuk memastikan jet mempunyai ruang kaki lebih panjang dalam kelas perniagaan dan menempah hotel dengan katil lebih besar.

“Saya bangga dan gembira kerana dapat mencatat nama dalam Guinness Books of World Records keran ia adalah antara impian saya,” katanya.

‘Gergasi Alton’ miliki ketinggian 2.72 meter

SELAIN Kosen, dunia turut memiliki lagi beberapa penduduk yang diiktiraf sebagai lelaki tertinggi dunia malah ada antaranya jauh melangkaui ketinggian Kosen. Antaranya ialah:

Robert Pershing Wadlow
Robert Pershing Wadlow yang hidup pada 1918 hingga 1940 adalah lelaki paling tinggi dunia sehingga hari ini dengan ketinggian 2.72 meter dan bukti itu tidak dapat disangkal lagi. Dia dikenali sebagai Gergasi Alton sempena bandar kelahirannya di Alton, Illinois. Wadlow juga diketahui memiliki tangan paling besar dan lebar dalam sejarah sehingga boleh menyembunyikan botol soda dua liter dengan mudah.

John William ‘Bud’ Rogan
Rogan dari Tennessee, Amerika Syarikat yang hidup pada 1868 hingga 1905 ialah salah seorang daripada 12 individu dalam sejarah perubatan mencecah ketinggian 2.4 meter atau lebih. Rogan membesar pantas pada usia 13 tahun sehingga akhirnya dia tidak boleh berdiri atau berjalan. Ketinggian sebenarnya tidak diukur sehingga kematiannya. Ukuran yang diambil ketika dia duduk menunjukkan ketinggian 2.69 meter tetapi cuma seberat 79 kilogram, menjadikan dia lelaki Afrika-Amerika paling tinggi dan kedua paling tinggi pernah direkodkan.

Leonid Ivanovych Stadnyk
Dilahirkan pada 1971 di Ukraine, Stadnyk sebelum ini diiktiraf sebagai lelaki tertinggi dunia menurut Guinness World Records 2008 dengan ukuran 2.57 meter. Pembesarannya bermula selepas menjalani pembedahan otak ketika berusia 14 tahun. Dia mengalami tumor kelenjar pituatari yang menyebabkan kelenjar merembeskan sejumlah besar hormon pertumbuhan. Kira-kira 20 tahun selepas pembedahan itu, doktor menemui tumor yang hilang secara misteri dan kini dia adalah keadaan sihat.

Gabriel Estevao Monjane
Monjane yang hidup pada tahun 1844 hingga 1990 mungkin kekal sebagai lelaki Afrika paling tinggi pernah diketahui. Dia juga antara 12 individu yang mencecah ketinggian 2.4 meter atau lebih dengan ketinggian 2.5 meter. Dilahirkan di Manjacaze, Mozambique, ketinggian luar biasa Monjane bermula tidak lama selepas dilahirkan. Ketika berusia 17, ketinggiannya mencecah 2.3 meter. Dia menyertai sarkas Portugis dan ketinggiannya mencecah 2.4 meter.

Suleiman Ali Nashnush
Warga Libya ini juga adalah antara 12 orang yang mencatat nama dalam sejarah perubatan. Ketinggiannya menyebabkan dia terpilih menyertai pasukan bola keranjang Libya dan menjadi pelakon. Pada 1960, Suleiman menjalani pembedahan untuk membetulkan pertumbuhan tidak normal itu. Dia antara pemain bola keranjang paling tinggi dengan ketinggian 2.45 meter.

No comments:

Post a Comment